KESALAHAN-KESALAHAN PERKAHWINAN DALAM PERCERAIAN DI LUAR MAHKAMAH DAN TANPA KEBENARAN MAHKAMAH SEBAGAI SATU JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA

KESALAHAN-KESALAHAN PERKAHWINAN DALAM PERCERAIAN DI LUAR MAHKAMAH DAN TANPA KEBENARAN MAHKAMAH SEBAGAI SATU JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA

Pendahuluan.
            Perkahwinan merupakan istilah universal yang berlaku baik bagi manusia, haiwan dan tumbuhan, di mana semuanya mempunyai naluri untuk berkahwin kerana Allah SWT telah menjadikan makhluk hidup dengan berpasang-pasangan ada lelaki dan perempuan. Bagi manusia, perkahwinan merupakan fondasi bagi membina masyarakat. Ini dapat membentuk keluarga yang memberikan kasih dan sayang dan pemeliharaan kepada anak-anaknya, melahirkan anggota kelarga yang soleh yang mentranfusikan darah baru pada urat nadi masyarakat sehingga dapat tumbuh dengan kuat dan berkembang lebih maju.
            Perkahwinan juga adalah suatu ikatan yang bersifat kekal abadi. Dengan ikatan ini suami dan isteri dapat berhubung antara satu sama lain dalam suasana yang diredhai oleh Allah SWT. Tujuan daripada sesuatu perkahwinan akan dapat dicapai sekiranya pasangan suami isteri dapat hidup dalam rumahtangga yang aman, damai dan harmoni.
            Walaupun demikian, tidaklah semua perkahwinan itu kekal sampai akhir hayat. Kehidupan rumahtangga ini adalah saat-saat kehidupan manusia ketika tidak mungkin baginya untuk melanjutkan hubungan yang akrab dengan isteri atau suami juga sebaliknya. Ini adalah merupakan sebahagian daripada sifat manusia bahawa sekalipun dia telah mencapai segenap prestasi dan peningkatan keilmuan, apabila tidak wujud lagi persefahaman dalam kehidupan rumahtangga atau kata sepakat sudah tidak ada lagi diantara suami dan isteri maka perkahwinan tersebut akan dapat dibubarkan.
            Bubarnya perkahwinan itu adalah dalam bentuk perceraian seperti yang dibenarkan dalam Islam, tetapi ianya tidak dianjurkan. Hal ini adalah kerana Islam mengiginkan sebuah perkahwinan itu bersifat abadi antara suami dan isteri, setiap pertengkaran dan perselisihan yang berlaku itu hendaklah diselesaikan dengan cara yang damai diantara kedua belah pihak. Untuk itu, ketika hubungan suami dan isteri sudah dalam persoalan yang genting, maka suami diharapkan agar tidak melontarkan kata cerai atau pisah dengan mudah kepada si isteri. Islam juga telah memberikan peringatan kepada suami ataupun isteri untuk tidak menggumbar kata pisah kerana jika satu lafaz tersebut diucapkan, maka perceraianpun akan berlaku.[1]

            Kata pisah, talak ataupun cerai dalam Islam memang tidak diatur harus diucapkan di mahkamah, tetapi undang-undang menginginkan bahawa setiap perceraian tersebut harus melalui peraturan yang berlaku yaitu dibuat di Mahkamah Syariah dengan tujuan untuk menjamin keselamatan antara kedua belah pihak, di mana selepas terjadinya perceraian itu tidak ada timbulnya persoalan yang pelbagai atau maksiat tidak berlaku. Pihak Mahkamah Syariah juga akan mengeluarkan satu sijil kepada pasangan yang sudah bercerai ini untuk mengesahkan lagi bahawa perceraian mereka itu telah berlaku dengan bersaksikan hakim dan tidak berlakunya keraguan bagi pihak yang tidak mengetahui hukum agama ini.[2]

Kesalahan-kesalahan perkahwinan dalam perceraian.
            Setiap diantara kita pasti akan berasa ingin untuk berkahwin dan tidak sama sekali menginginkan perceraian berlaku selepas perkahwinan diantara orang yang kita sayangi. Namun ianya berlaku pastinya mempunyai punca yang tertentu juga mungkin berlaku kerana kecuaian kita dalam melaksanakan tanggungjawab. Antara contoh kesalahan-kesalahan perkahwinan dalam perceraian adalah seperti kenyataan dibawah.
            Pada masa kini ramai dalam kalangan kita yang berkerja sehingga terlalu sibuk dengan perkerjaan yang dilakukan sehingga lari daripada melakukan tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri. Akibat daripada terlalu sibuk sehingga menyebabkan tekanan jadi mereka melepaskan tekanan mereka itu kepada orang rumah apabila sudah pulang dari kerja. Hal ini akan menyebabkan pertengkaran berlaku yang boleh menyebabkan masing-masing bersikap ego dan tidak mahu mengalah sehingga si suami melafazkan cerai tanpa berfikir panjang kerana berada dalam keadaan yang marah.
            Selain itu, sikap yang terlalu suke berahsia juga bergaul dengan ramai pihak tanpa memberitahu pasangan juga boleh menjadi punca kepada berlakunya perceraian. Ini adalah kerana, apabila pasangan berasa cemburu kerana pasangannya berkawan dengan seseorang tanpa memberitahunya dan dia melihat mereka terlalu rapat sehingga menyebabkan hadirnya perasaan bengang dan apabila ditanya pasangan menjawab secara tidak jujur atau menjawab seperti tidak mengendahkan soalan pasangannya itu boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran juga boleh mengakibatkan mereka bercerai tanpa berfikir panjang akibat terlalu marah.
            Disamping itu juga, pasangan yang terlalu mementingkan diri juga boleh menjadi punca perceraian. Hal ini adalah kerana apabila sedang berbincang mengenai sesuatu perkara namun masing-masing bersikap keras kepala tanpa mahu mengalah dan masing-masing berasa bahawa apa yang diperkatakannya itu adalah benar tanpa mendengar atau memberi peluang kepada pasangannya itu bersuara adalah menyebabkan pasangan berasa tercabar dan akan terus bertengkar tanpa penyelesaian. Maka berlakulah perceraian daripada sikap yang mementingkan diri itu menyababkan pasangan berubah hati untuk hidup bersama lagi.[3]

Oleh itu, sebagai pasangan suami isteri kita hendaklah bersikap jujur dengan setiap perkara yang kita lakukan. Tiada rahsia diantara pasangan adalah lebih baik daripada berahsia dengan pasangan yang oleh menyebabkan pertengkaran dan perceraian. Kita mestilah bersikap tolak ansur, matang, saling memahami, dan sebagainya terhadap pasangan atau ketika melakukan perbincaangan kerana ini adalah lebih baik daripada bergaduh. Perlu untuk setiap daripada pasangan bersikap positif daripada negatif kerana segala sikap negatif itu adalah menjadi punca kepada perceraian.[4]

Faktor-faktor Perceraian.
            Menurut pegawai yang mengandalikan kes-kes perceraian secara persetujuan bersama ini, kebanyakkan perceraian berlaku dalam kalangan mereka rata-ratnya berpendapatan seribu ringgit ke bawah dan mereka berkerja sendiri seperti nelayan atau petani.
            Antara sebab berlakunya perceraian ialah suami tidak menunaikan tanggungjawab rumahtangga seperti tidak memberi nafkah, suami sakit, poligami, suami memudaratkan isteri, suami terlibat dalam kes jenayah, menagih dadah dan tidak tinggal bersama, dan sebagaianya.
            Antara alasan perceraian yang dikemukakan oleh suami pula ialah isteri tidak menjalankan tanggungjawab, isteri lari meninggalkan suami dan isteri tidak suka pada suami juga sebab yang lain itu tidak selalu menjadi punca kepada berlakunya perceraian.[5]

Perceriaan Di Luar Mahkamah.
            Perceraian luar mahkamah bermaksud perceraian yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah Syariah. Cerai luar mahkamah termasuklah lafazkan cerai secara lisan tanpa kebenaran mahkamah, cerai melalui e-mel dan cerai melalui sistem pesanan ringkas atau SMS.
            Bagi kes-kes cerai sebegini, mana-mana pihak sama ada isteri atau suami perlu mengemukakan permohonan ke Mahkamah Syariah bagi mengesahkan perceraian walaupun yakin dan pasti, lafaz yang digunakan adalah lafaz soreh dan talak telah jatuh. Pengesahan perlu dilakukan bagi membenarkan perceraian tersebut direkodkan menurut peruntukan Undang-undang Keluarga Islam. Ianya dilakukan adalah bukan semata-mata memenuhi kehendak undang-undang sebaliknya untuk kemaslahatan pihak-pihak terlibat pada masa akan datang.[6]
            Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talak. Hal ini adalah kerana, perempuan mempunyai masalah emosi yang menyebabkan mereka sering  membuat keputuasan tanpa berfikir panjang.  Namun, jangan salah anggap kerana jika berada dalam keadaan yang tertentu, isteri juga menpunyai kuasa talak.  
            Walaupun begitu, namun ketahuilah bahawa Islam memperuntukkan bahawa isteri juga mempunyai kuasa untuk memutuskan ikatan sesebuah perkahwinan. Malah kuasa wanita atau isteri lebih besar berbanding kuasa suami. Kenapa? Kerana suami hanya arif mengenai talak namun isteri berkuasa menggunakan khuluk, fasakh, taklik malah isteri juga boleh memanipulasikan kuasa talak suami.[7]  

Bagaimana Memanipulasikan Kuasa Talak Lelaki?
            Syeksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (peruntukan yang sama bagi negeri-negeri lain di Malaysia, hanya berbeza syeksyen sahaja.) memperuntukkan bahawa sesebuah perkahwinan hanya boleh dipisahkan apabila ada persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri. Beerti apabila seseorang individu itu sama ada suami atau isteri inginkan perceraian maka Mahkamah menetapkan bahawa perceraian tersebut perlu dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Sekiranya salah satu pihak tidak bersetuju maka perceraian tidak dibenarkan dan kes akan dibawa kepada Jawatankuasa Pendamaian.
            Melalui Jawatankuasa Pendamaian ini pula, sekiranya masih wujud pergolakan maka diwujudkan satu pihak yang dinamakan hakam. Di sinilah kuasa talak suami boleh dimanipulasikan. Sekiranya pihak yang memohon perceraian adalah pihak isteri dan suami berkeras enggan menceraikan sedangkan pihak Jawatankuasa Pendamaian dan hakam berpendapat perceraian antara kedua belah mereka adalah wajar, maka hakam akan mengambil alih kuasa cerai daripada suami. Menepati bahawa, isteri juga mempunyai kuasa cerai atau talak.
            Begitu juga dengan fasakh, khuluk dan taklik dan ketiga-tiganya memberikan kuasa kepada isteri untuk mendapatkan jalan keluar dari perkahwinan  yang tidak lagi memberikan kedamaian dan kebahagiaan kepada mereka.[8]   

 Antara ketetapan-ketetapan Yang Ada Dalam Islam, Enakmen Telah Memperuntukkan Kepada Para Isteri Hak-hak Seperti Berikut :

Hak Untuk Bercerai.
            Didalam Fasal 47 (1) telah menyebut :
“Seseorang suami atau isteri yang hendak bercerai, hendaklah menyerahkan permohonan kepada mahkamah di dalam borang yang telah ditetapkan...”
            Peruntukkan tersebut dengan jelas memberi kuasa kepada isteri dan suami sebagai inisiatif untuk bercerai. Islam menyebut, ia sebagai perceraian melalui keputusan kadi (mahkamah) dan hanya boleh dilakukan oleh pihak perempuan atas sebab-sebab tertentu sahaja. Mengikut pandangan mazhab Hanafi, perceraian seperti ini hanya boleh dilakukan atas sebab tertentu sahaja, misalnya kegagalan suami dalam hubungan seksual (mati pucuk atau seumpama dengannya).
            Bagaimanapun majoriti fuqaha Islam berpendapat, bukan masalah seksual sahaja yang membenarkan kepada perceraian, malah terdapat juga alasan lain antaranya tidak memberi nafkah, kecacatan suami, pergaulan tidak baik dengan suami, suami menghilangkan diri, suami dipenjarakan dan sebagainya.
            Dalam Enakmen ini, tafsiran yang meluas telah diambil. Oleh itu, tidak ada perkara tertentu yang disenaraikan sebagai alasan untuk seseorang wanita itu membuat permohonan untuk bercerai. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menyatakan sebab-sebab hendak bercerai.[9]
  
Hak Untuk Tidak Diceraikan Oleh Suami Dengan Sewenang-wenangnya.
            Peruntukan dalam Fasal 47 (1), sebagaimana yang disebutkan bukan sahaja memberi hak kepada isteri untuk memohon perceraian melalui mahkamah tetapi juga memberi perlindungan kepada mereka untuk tidak diceraikan dengan sewenang-wenangnya oleh para suami. Ini kerana, tertakluk kepada peruntukan tersebut iaitu suami tidak dibenarkan oleh  undang-undang melafazkan talak secara bersendirian (luar mahkamah). Jika sebaliknya berlaku perkara sedemikian, suami boleh didakwa dan dihukum mengikut undang-undang yang ditetapakan pada Fasal 124 telah menjelaskan iaitu :
“Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk diluar mahkamah, maka dia telah melakukan kesalahan dan hendaklah didenda tidak melebih daripada seribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.”[10]

Hak Untuk Bercerai Secara Tebus Talak.
            Dalam keadaan isteri yang menginginkan kepada perceraian tetapi suami enggan melafazkannya, pihak isteri boleh menawarkan bayaran sebagai ‘tebus talak’ kepada pihak suami supaya dia dapat melakukannya. Fasal 49 (1) telah menjelaskan keadaan ini :
“Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talak, mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami untuk melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba’in sughra atau tidak boleh dirujuk.”[11]

Hak Menentukan Pendirian Bersetuju Atau Tidak Untuk Bercerai.
            Fasal (47) memberi hak untuk menentukan sikap bersetuju atau sebaliknya terhadap permohonan suami untuk bercerai. Persetujuan atau penolakan ini akan menentukan tindakan seterusnya yang boleh diambil oleh mahkamah dalam kes permohonan berkenaan. Dalam subseksyen (2) dan (3) dari Fasal tersebut memperuntukkan :
“Selepas menerimasuatu permohonan untuk perceraian, mahkamah hendaklah menyebabkan satu saman diserahkan kepada pihak yang satu lagi itu bersama dengan satu lagi permohonan itu dan akuan berkanun yang dibuat oleh pemohon, dan saman itu hendaklah mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan mahkamah untuk membolekan mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu bersetuju atau tidak terhadap perceraian itu.”
“Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap perceraian itu dan mahkamah berpuas hati selepas penyiasatan yang wajar dilakukan, bahawa perkahwinan itu telah tergugat dan tidak dapat dipulihkan, maka mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talak di hadapan mahkamah.”[12]
           
Penceraian Di Luar Mahkamah Dan Tanpa Kebenaran Mahkamah  Adalah Satu Jenayah Syariah.
            Menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di setiap negeri, perceraian tidak boleh sewenang-wenangna dilafazkan di luar mahkamah. Ini bermakna bahawa bagaimana teruknya rumahtangga itu, pasangan berkenaan mestilah meminta kebenaran daripada mahkamah syariah untuk melafazkan cerai.
             Melafazkan cerai sama ada thalaq 1 atau 2 atau 3 di luar mahkamah tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah syariah. Ianya tidak kira sama ada lafaz cerai itu adalah berpunca daripada apa. Samada permintaan atau desakan daripada isteri atau atas kehendak suami sendiri.[13]
            Jika si suami sudah melafazkan cerai tidak kira di manapun sama ada di rumah, dalam kereta, pejabat, atau di mana sahaja asalkan tanpa kebenaran daripada mahkamah, maka apa yang perlu dilakukan selepas itu ialah merujukkan hal tersebut di mahkamah syariah di mana pasangan itu tinggal atau bermastautin. Membuat satu permohonan untuk memohon pengesahan samada lafaz tersebut sah atau tidak.
            Ini merupakan satu jenayah syariah adalah kerana untuk mempertahankan maruah wanita yang diceraikan atau yang sudah bercerai agar tidak ditinggalkan secara zalim oleh bekas suaminya. Meskipun pada asasnya kuasa untk bercerai itu boleh dakatakan berada pada suami, namun Islam menjamin hak-hak perlindungan kepada kaum wanita supaya mereka tidak teraniaya dalam masalah perceraian ini. [14]

Cara-cara Untuk Merujuk Mahkamah Selepas Diceraikan Di Luar Mahkamah Atau Tanpa Kebenaran Mahkamah.
            Selepas berlakunya perceraian di luar mahkamah atau tanpa kebenaran mahkamah melalui lafaz daripada si bekas suami. Mereka perlu membuat satu permohonan untuk memohon sama ada lafaz perceraian itu sah atau tidak.
            Kedua pasangan mesti hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan mengenai lafaz tersebut. Mahkamah akan meneliti bentuk lafaz samada lafaz tersebut berbentuk soreh atau kinayah atau ta’liq. Jika sah, maka mahkamah akan mengesahkan bahawa talak telah gugur, bilangan talak yang gugur,tempoh isteri bereddah dan lain-lain hal yang bersangkutan dengan perceraian itu. [15]
            Terdapat di sesetengah negeri yang tidak akan mendaftarkan penceraian itu di hadapan Pendaftar Pernikahan di Jabatan Agama Islam selagi pasangan tersebut tidak didakwa di Mahkamah Syariah. Terdapat juga sesetangah negeri yang tiada halangan untuk mendaftarkan perceraian tersebut sama ada telah didakwa atas kesalahan bercerai tanpa kebenaran mahkamah atau didakwa kemudian. Yang penting, pendaftaran perceraian dibuat dan pendakwaan akan dibuat kemudian.
            Apa yang penting di sini adalah kesedaran umat Islam di nagara ini bahawa undang-undang tidak membenarkan pasangan bercerai tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada mahkamah syariah. Kebenaran ini perlu begi memastikan masyarakat Islam tidak sewenang-wenangnya bercerai sesuka hati tanpa kawalan atau pemantauan.[16]
  
Peruntukan Terhadap Tatacara Perceraian Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.
            Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia sekarang telah memperuntukkan tentang tatacara perceraian yang perlu diikuti oleh seorang suami jika ingin menceraikan isterinya atau seorang isteri yang ingin bercerai daripada suaminya. Selain itu, melalui peruntukan lain pula menjelaskan bahawa talak hendaklah dilafazkan di hadapan mahkamah. Seorang lelaki yang menceraiakan isterinya di luar mahkamah dengan apa jua bentuk sekalipun, dan menceraikan tanpa kebenaran mahkamah, dianggap melakukan satu kesalahan serta boleh dikenakan hukuman.
             Seksyen 47, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1984 umpananya memperuntukkan seperti berikut :
1.      Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada mahkamah dalam borang yang ditetapakan , disertakan dengan suatu akuan yang mengandungi perkara-perkara berikut :
a)      Butir-butir tentang perkahwinan itu, berserta nama, umur, jantina anak-anak (jika ada) hasil daripada perkahwinan itu.
b)      Butir-butir tentang fakta yang menberi bidang kuasa kepada mahkamah di bawah Seksyen 45.
c)      Butir-butir tentang apa-apa prosiding yang dahulu berkenaan hal-ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu termasuk prosiding.
d)     Suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai.
e)      Suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa,dan,jika ada, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai pendamaian.
f)       Syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kedamaian bagi isteri dan anak-anak daripada perkahwinan itu, jika ada, peruntukkan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak daripada perkahwinan itu; jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperoleh melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, atau, jika tiada, sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon tentang hal-hal itu.
g)      Butir-butir tentang perintah yang diminta.[17]
2.      Selepas menerima sesuatu permohonan untuk perceraian, mahkamah hendaklah menyebarkan satu saman yang diserahakan kepada pihak satu lagi bersama satu salinan permohonan dan akuan berkanun yang dibuat oleh pemohon. Saman itu hendaklah mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan mahkamah untuk membolehkan mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu bersetuju atau tidak terhadap perceraian itu.
3.      Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap terhadap perceraian itu dan mahkamah berpuas hati selepas penyiasatan yang wajar bahawa perkahwinan itu telah berpecah-belah dengan tidak dapat dipulihkan, maka mahkamah hendaklah menasihati suami supaya  melafazkan satu talak di hadapan mahkamah.
4.      Mahkamah hendaklah merekodkan hal satu talak itu, dan hendaklah menghantar satu salinan rekod yang diperakui kepada pendaftar yang berkenaan dan kepada ketua pendaftar untuk didaftarkan.
5.      Jika pihak yang satu lagi itu tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian antara pihak itu, mahkamah hendaklah dengan seberapa segerayang boleh melantik suatu jawatankuasa pendamai terdiri daripada seorang pegawai agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi pihak isteri, dan merujukkan kes kepada jawatan kuasa itu.[18]

Denda Yang Dikenakan Bagi Pengsabit Kesalahan.
            Jika disabitkan bersalah, pasangan yang menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah boleh dihukum denda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Berdasarkan pengsabitan atas kesalaan di bawah Seksyen 125 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dapat dilihat untuk lebih jelas bahawa pesalah akan dikenakan denda seperti pernyataan berikut :

        ENAKMEN 8 TAHUN 2004                   
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004
                                             BAHAGIAN IX – PENALTI

Seksyen 125. Perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah.[19]


“ Jika seseoramg lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali yaitu denda dan penjara itu.” 

Justeru, jangan sampai terlalu ikutkan hati sehingga sewenang-wenangnya bercerai tanpa kebenaran mahkamah, pasangan tersebut akhirnya turun naik di mahkamah untuk menghadapi perbicaraan jenayah kerana bercerai tanpa kebenaran.
Dalam menghadapi kemelut rumahtangga, kesabaran amat penting dan tinggi harganya. Janganlah melafazkan cerai terburu-buru. Selain berlaku penyesalan, pasangan juga akhirnya mendapat status “penjenayah” di kemudian hari. Sebabnya hanya satu iaitu bercerai tanpa kebenaran mahkamah syariah.[20]
Jika Sudah Terlafaz  Cerai, Cepat-cepatlah Ke Mahkamah.
            Antara contoh soalan dan jawapan yang dapat membantu anda daripada kekeliruan mengenai perceraian yang berlaku diluar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah.  
Soalan:
            Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adik ipar saya telah melafazkan cerai talak satu kepada isterinya di hadapan kedua pakcik dan makcik si isteri. Tetapi dalam masa kurang sebulan, adik ipar saya dan isterinya telah kembali semula dan bersekedudukan bersama. Di sini, saya ingin tahu:
(1) Adakah mereka harus memfailkan penceraian mereka di pejabat agama?
(2) Haruskah mereka melalui proses penceraian sebelum mereka rujuk semula?
(3) Apa hukum jika sudah melafazkan cerai tanpa memfailkan dan bersekedudukan??
Sila balas pertanyaan saya kerana saya ingin tahu. Terima kasih
Jawapan:
Walaikumussalam wbt. Dalam keadaan di atas, apabila ternyata si adik ipar telah melafazkan cerai ke atas isterinya, tindakan segera yang perlu dilakukan adalah menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah di Mahkamah Syariah di mana pasangan tersebut bermastautin atau tinggal. Terus sahaja ke Mahkamah Syariah. Elakkan dari menangguh-nangguh perkara ini. Penangguhan yang berterusan akan hanya menambahkan rasa resah, bimbang dan tidak senang pada hati bukan saja pada pasangan ini malah pada keluarga kedua pihak yang terlibat.
Lafaz tersebut perlu diteliti oleh Mahkamah samada ianya telah menggugurkan talaq atau tidak. Ini kerana, lafaz talaq itu sendiri ada yang disebut sebagai lafaz soreh atau lafaz yang terang, nyata yang mana seseorang yang melafazkannya dalam keadaan biasa akan menggugurkan talaq. Ia tak memerlukan niat menceraikannya. Contohnya “aku ceraikan kau” atau “aku talaqkan kau” atau “kau tertalak”.[21]
Ada lagi lafaz yang dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang memerlukan niat menceraikan baharulah lafaz tersebut dikira sebagai sabit perceraian atau gugur talaq. Contohnya suami mengatakan kepada isterinya “kau kembalilah kepada ibubapa engkau dan jangan lagi kau balik ke sini”. Dalam hal ini, sekiranya suami berniat menceraikan isteri saat melafazkan kata-kata itu, maka ia dikira menggugurkan talak. Sebaliknya, jika suami sekadar menakutkan atau memberi amaran kepada isteri, maka tidaklah gugur talak.
Justeru, dalam situasi yang dihadapi oleh adik ipar tersebut, sebaiknya bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah. Jika benar telah bercerai, mahkamah akan menentukan pula berapa bilangan atau jumlah talaq yang gugur. Hanya mahkamah syariah saja yang boleh memutuskan perkara ini menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di negeri-negeri. Seksyen 56 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam jelas menyebutkan bahawa Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk hanya boleh mendaftarkan suatu perceraian itu apabila telah berpuashati bahawa Mahkamah Syariah telah membuat pengesahan mengenai perceraian itu.
Soal mereka telah rujuk, kembali atau berkedudukan semula sebagai suami isteri, hal tersebut tidak harus berlaku begitu saja tanpa mendapat kepastian mengenai kedudukan status mereka semada sudah bercerai atau tidak. Jika mereka benar-benar nak bersatu semula, ikutilah undang-undang yang ada. Undang-undang itu bukanlah menyusahkan tetapi ia adalah memudahkan urusan manusia. Ia mengelak dari berlakunya perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Segerakan dan jangan bertangguh lagi.
Tindakan menyegerakan untuk membuat laporan (permohonan) ke mahkamah mengenai lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah adalah kehendak undang-undang. Seksyen 57 Enakmen Undang_undang Keluarga Islam menegaskan bahawa laporan (permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah) hendaklah dibuat kepada Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari dari lafaz cerai tersebut berlaku. Ini bermakna, bila mana lafaz cerai sudah dibuat oleh suami, maka pasangan tersebut mestilah melaporkan hal tersebut dalam tempoh 7 hari dari tarikh lafaz.[22]
Dalam perkara sepenting ini, Arahan Amalan sudah dikeluarkan kepada seluruh Mahkamah Syariah di negeri-negeri bahawa keutamaan untuk mendengar terus permohonan yang ada persetujuan bagi kes pengesahan lafaz cerai perlu diberi termasuk mendengar pada hari yang sama kes berkenaan jika ada ruang mahkamah berbuat demikian. Erakita berpendapat bahawa penjelasan dari artikel dalam ruangan ini serta jawapan di atas memadai sebagai jawapan kepada soalan yang ketiga.
Demikianlah jawapan erakita dalam situasi di atas. Semoga ada manfaatnya. Jangan tunggu lagi. Bersegeralah ke Mahkamah Syariah dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah tersebut. Mohonlah kepada Pendaftar Mahkamah supaya kes berkenaan dapat disegerakan pendegarannya atas sebab nak rujuk.[23]
Penutup.
            Semua manusia yang dihidupkan di atas muka bumi Allah ini telah ditetapkan jodohnya. Dan setiap daripada manusia pasti ada rasa keinginan untuk membina masjidnya yang tersendiri. Apabila terikatnya seseorang itu dengan jodohnya maka seluruh diri ini adalah milik pasangan kita. Seseorang itu akan berkongsi segala kehidupan dirinya dengan pasangannya itu sehingga akhir hayatnya. Segala keseronokkan, kesedihan. Kesakitan dan sebagainya itu perlu untuk dikongsi.
            Apabila sudah berkahwin pelbagai tanggungjawab yang akan digalas oleh diri sendiri. Sewaktu dialam perkahwinan itu kita tidak lagi boleh untuk bersikap mementingkan diri, setiap yang diungkap tidak boleh dilawan, sentiasa mempertahankan ego sendiri, dan segala yang berpihak kepada nagatif itu perlu untuk dikurangkan untuk berada dalam diri kita ini kerana kita telah pun berkongsi keidupan bersama pasangan atau jodoh kita.[24]
            Oleh itu, setiap permasalahan itu perlulah dibincangkan secara baik. Sewaktu sedang bersemuka berbincang untuk mnyelesaikan masalah yang timbul setiap daripada kita perlu untuk menurunkan segala ego, keras kepala, panas baran dan sebagainya agar masalah itu dapat diselesaikan dengan baik tanpa berlaku pergaduhan. Pergaduhan, pertengkaran dan sebagainya adalah menjadi salah satu punca berlakunya perceraian.
            Perceraian adalah satu perkara yang serius dan bukan untuk menjadi bahan mainan diantara kita bersama pasangan. Oleh itu kita mesitlah, sentiasa menjaga setiap daripada  pertuturan tidak kira sewaktu apapun agar tidak terlepas daripada untuk berkata mengenai perceraian atau sesuatu yang menyerupai unsur perceraian seperti kiasan.
            Namun begitu, Islam itu memudahkan bukan menyusahkan. Jika terdapat perkara-perkara  yang berlaku itu perlu kepada perceraian maka bercerailah untuk kebaikan semua pihak. Setiap permasalahan itu pasti ada penyelesaiannya namun apabila penyelesaiannya hanyalah perceraian maka dibolehjan untuk bercerai itu.[25]
            Perceraian ini dibenarkan adalah kerana untuk tidak menyusahkan atau membebankan manusia yang berada dalam permasalahan yang menyusahkan dirinya atau penderitaan yang tidak mampu lagi untuk ditanggung oleh diri sendiri yang berpunca daripada pasangan sendiri. Ini adalah salah satu cara untuk membebaskan diri darpada tersepit dengan segala masalah yang timbul sehingga menyusahkan diri sendiri.[26]
            Islam tidaklah menggalakkan perceraian namun ia adalah salah satu perkara yang dibenci oleh Allah namun dibolehkan oleh agama. Ini adalah kerana untuk menjaga daripada seseorang itu teraniaya. Tetapi apabila timbulnya masalah dalam rumahtangga itu berusahalah mencari jalan penyelesaiannya sehinnga betul-betul tiada jalan keluar barulah kita dibolehkan untuk bercerai. Kerana perceraian itu boleh mengakibatkan kita berasa sangat menyesal dengan perbuatan itu. Ingalah, kerana mulut badan mampu untuk binasa dan sesal dahulu pendapatan sesal kemuadian tidak berguna. Berfikirlah secara ma tang sebelum bertindak. [27]

Rujukkan.
1)      Buatmu Wanita, Suzana Ghazali.
2)      Perceraian : Hak Wanita Islam, Zaini Nasohah.
3)      Krisis & Konflik Institusi Keluarga, Abd Rahim Abd Rashid, Sufean Hussin, Che Hashim Hassan.
4)      Undang-undang Kesalahan Jenayah Syarian Di Malaysia, Siti Zubaidah Ismail.
5)      Wanita status sosisl &undang-undang Islam, Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail.






[1] unpanl.un.org/intradoc/groups/public/documents/un-dpadm/unpan040054.pdf
[2] Unpanl.un.org/intradoc/groups/public/documents/un-dpadm/unpan040054.pdf
[3] Sukapeguamsyarie.blogspot.my/2014/11/artikel-pendaftaran-pernikahan-luar.hfml
[4] www.jksnpp.gov.my/jkshpphq/dmdocuments/brochere%20perceraian.pdf
[5] Krisis & Konflik Institusi Keluarga, Abd. Rahim Abd. Rashid, Sufean Hussin, Ch Hashim Hassan, m/s 84
[6] Unpanl.un.org/intradoc/groups/public/documents/un-dpadm/unpan040054.pdf
[7] Buatmu wanita, Suzana Ghazali, m/s217-218
[8] Buatmu wanita, Suzana Ghazali, m/s 218-219
[9] Wanita status social & undang-undang Islam, Prof Madya Datin Dr. Paizah Hj Ismail, m/s123-124
[10] Wanita status social & undang-undang Islam, Prof Madya Datin Dr. Paizah Hj Ismail, m/s124-125
[11] Wanita status social & undang-undang Islam, Prof Madya Datin Dr. Paizah Hj Ismail, m/s126
[12] Wanita status social & undang-undang Islam, Prof Madya Datin Dr. Paizah Hj Ismail, m/s125-126
[13] Undang-undang jenayah syariah di Malaysia, Sti Zubaidah Ismail
[14] www.jakes.gov.m/pdffile/koleksipenghakimanMRS/054%20-%20Mahad%20lwn20Natasha.pdf
[15] www.jksnpp.gov.my/jkshpphq/dmdocuments/un-dpadm/unpan040054.pdf
[16] Sukapeguamsyarie.blogspot.my/2014/11/artikel-pendaftaran-pernikahan-luar.hfml
[17] Perceraian: hak wanita Islam, Zaini Nasohah, m/s37-38
[18] [18] Perceraian: hak wanita Islam, Zaini Nasohah, m/s39
[19] https://www.mahsyariahmelaka.gov.my/msdnmfiles/enakmen/pdf_format/En.1202/Ix/seksyen125.pdf
[20] Undang-undang kesalahan jenayah syariah di Malaysia, Siti Zubaidah Ismail.
[21] Wanita status social &undang-undang islam, Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail, m/s 123-126
[22] Wanita status social &undang-undang islam, Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail, m/s 123-126
[23] Wanita status social &undang-undang islam, Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail, m/s 123-126
[24] Unpanl.un.org/intadoc/groups/public/documents/un-dpadm/unpan040054.pdf
[25] Buatmu wanita, suzana ghazali, m/s 217-219
[26] Wanita status social & undang-undang islam, prof madya datin dr paizah hj ismal, m/s 123-126
[27] www.jksnpp.gov.my/jkshpphq/dndocuments/brochure%20penceraian.pdf

Comments

  1. Assalamualaikum.. Apa langkah² yg perlu buat setelah suami lafazkan cerai talak 1 ke ats saya? Contohnya borang apa yg perlu saya isi.. Apa yang saya sediakan untuk ke pejabat agama untuk mengadu..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

NIKAH SYUBHAH ATAU PERSETUBUHAN SYUBHAH